QUARTARARO akan bergandingan bersama Rins tahun depan. FOTO AFP
QUARTARARO akan bergandingan bersama Rins tahun depan. FOTO AFP
Agensi

Paris: Fabio Quartararo menjangkakan akan berdepan cabaran baharu apabila bergandingan dengan Alex Rins selaku rakan sepasukan tahun depan.

Pelumba LCR Honda, Rins akan berhijrah ke Yamaha untuk menggantikan Franco Morbidelli pada musim 2024 bersama-sama Quartararo.

Rins adalah satu-satunya pelumba bukan Ducati yang meraih kemenangan Grand Prix (GP) musim ini sekali gus berpeluang mencabar juara dunia 2021, Quartararo dengan cara berbeza.

"Mengenai Alex, ia adalah cabaran baharu untuk pasukan dan juga saya. Dia mempunyai banyak pengalaman bersama jentera yang berbeza," kata Quartararo.

Rins yang pernah beraksi bersama Suzuki, sering mengatasi Quartararo pada musim 2019 dan 2020.

Dia akan menggantikan Morbidelli yang sudah empat musim bersama Yamaha namun hanya mengatasi Quartararo pada 2020.

"Saya menghabiskan hampir semua karier MotoGP saya bersama Franco, kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Saya mendoakan yang terbaik untuknya," kata Quartararo mengenai rakan sepasukannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 9:51 AM