LEWIS Hamilton. FOTO AFP
LEWIS Hamilton. FOTO AFP
Agensi

London: Ferrari dilaporkan sedang menyediakan tawaran lumayan untuk mendapatkan khidmat Lewis Hamilton daripada Mercedes bagi musim 2024.

Pasukan paling terkenal di Formula Satu (F1) itu sanggup menawarkan kepada Hamilton kontrak £40 juta (RM226.2 juta) dalam usaha mereka menarik minat juara dunia tujuh kali itu, lapor Daily Mail.

Difahamkan langkah itu bagi mengembalikan semula status Ferrari dengan presiden syarikat, John Elkann sudah berhubung bersama Hamilton.

Laporan itu menyatakan bahawa Ferrari mahu Hamilton bergandingan dengan Charles Leclerc sekali gus bermakna mereka perlu melepaskan Carlos Sainz daripada kontraknya setahun lebih awal.

Sebagai alternatif, Ferrari dilaporkan turut bersedia untuk membenarkan Leclerc berhijrah ke Mercedes bagi mendapatkan Hamilton.

Bos Mercedes, Toto Wolff baru-baru ini mengakui Leclerc berada dalam 'radarnya' di tengah-tengah ketidakpastian mengenai masa depan Hamilton bersama pasukan itu.

Kontrak Hamilton bersama Mercedes akan tamat pada penghujung musim ini tetapi pemandu berusia 38 tahun itu masih belum menandatangani kontrak baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 9:24 AM