HAKIM Danish Ramli. FOTO ZK Racing
HAKIM Danish Ramli. FOTO ZK Racing
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba SIC Racing Team, Hakim Danish Ramli tetap akan meneruskan pembelajaran seperti remaja lain walaupun dia sibuk dengan perlumbaan musim ini dan berpangkalan di Sepanyol.

Menurut Pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin, mereka sudah merancang untuk memasukkan Hakim Danish yang sekarang ini berusia 15 tahun ke sebuah sekolah di Sepanyol.

"Sekarang ini, saya sedang bercakap dengan kawan saya yang menguruskan Honda Team Asia. Dia tengah menguruskan sekolah Hakim Danish di Sepanyol. Hakim Danish tidak akan balik (ke Malaysia) tetapi dia akan pergi kelas dalam masa setahun sebanyak 300 jam," kata bekas pelumba Moto2 dan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia itu.

Ujar Zulfahmi, buat masa ini beliau tidak boleh mendedahkan lagi mengenai nama sekolah berkenaan namun mengakui, pelumbanya itu akan sambung belajar dalam masa terdekat ini.

Bulan lalu, Hakim Danish mencipta kejutan pada pusingan pembuka tirai Piala Red Bull Rookies 2023 di Portugal apabila meraih penamat di pentas podium bagi Perlumbaan 2.

Beraksi di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao pelumba berasal dari Terengganu itu menamatkan saingan di tempat ketiga selepas meraih tempat kelima pada Perlumbaan 1 sehari sebelumnya.

"Dia berlatih dan berlumba dengan bagus. Untuk dia dalam saingan Piala Red Bull Rookies ini, memang kita tak meletakkan sebarang jangkaan tinggi tetapi dia sendiri yang menunjukkan prestasi dengan bagus.

"Sekarang ini, saya kena menilai semula sasarannya dan menjadikannya lebih kompetitif untuk perlumbaan-perlumbaan akan datang," kata Zulfahmi.

Saingan Piala Red Bull Rookies 2023 selepas ini dijadual berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol dari 29 hingga 30 April ini dengan Hakim ketika ini berada di tangga kelima keseluruhan dengan 27 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 4:38 PM