HAKIM Danish. FOTO Arkib
HAKIM Danish. FOTO Arkib
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui dia sudah membuat persiapan rapi menjelang penampilan sulungnya di Kejuaraan Red Bull Rookies Cup 2023 yang menjadi medan pertarungan sengit buat bakat muda sedang meningkat naik dari seluruh dunia.

Menurut Hakim Danish, meskipun mengakui bakal menerima saingan sengit namun dia akan cuba melakukan peningkatan daripada setiap pusingan perlumbaan musim.

"Perlumbaan seterusnya di Portimao (Algarve) dan ia adalah perlumbaan pertama saya di Red Bull Rookies Cup. Saya sudah membuat persediaan yang bagus dengan menjalani latihan setiap hari kecuali pada Ahad.

"Daripada sudut persaingan, saya menjangkakan ramai yang laju dan daripada situ, saya akan cuba menunjukkan peningkatan dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan. Saya akan cuba melakukan yang terbaik nanti," katanya.

Mengulas mengenai sekiranya pasukan yang mengendalikan dirinya iaitu SIC Racing Team meletakkan sebarang sasaran terhadap dirinya bagi musim ini, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, pasukan tidak meletakkan sasaran khusus pada tahun pertamanya kali ini.

"Tak ada apa sasaran untuk saya. Saya hanya fokus untuk diri sendiri, menamatkan perlumbaan dan dapatkan kedudukan yang bagus (dalam setiap perlumbaan)," katanya yang akan turut disertai seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril.

Danial Syahmi bakal membuat penampilan untuk tahun kedua di Red Bull Rookies Cup selepas tahun lalu menamatkan kempen di tangga ke-13 keseluruhan dengan 49 mata.

Kempen 2023 menyaksikan sebanyak tujuh pusingan bakal berlangsung, bermula di Portimao sebelum kemuncak musim berakhir di Litar Misano dari 9 hingga 10 September nanti.

Red Bull Rookies Cup mempunyai sejarah tersendiri dan pernah melahirkan bakat besar di Kejuaraan Motosikal Dunia seperti Johann Zarco dan Brad Binder.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 6:01 PM