legenda rali negara, Karamjit Singh.
legenda rali negara, Karamjit Singh.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) sedia membantu pelumba legenda rali negara, Karamjit Singh menerusi beberapa saluran tertentu termasuk memberikan sejumlah dana kepadanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli berkata, pihaknya perlu mendapatkan dahulu maklumat terperinci daripada pelumba mendapat julukan Flying Sikh itu berhubung situasinya.

"Saya sudah minta kakitangan untuk berhubung dengan Karamjit dan kami juga mengalu-alukannya untuk memberi maklum balas kepada kami.

"Memang tanggungjawab kami untuk membantu. Banyak pelumba atau pemandu yang sudah kami bantu untuk meringankan beban mereka.

"Contohnya kami pernah bantu pelumba drift, Tengku Djan (Ley Tengku Mahaleel) dengan memberi sejumlah dana untuk perlumbaannya di luar negara.

"Jadi perkara sama boleh dilakukan kepada Karamjit apatah lagi dia seorang ikon dan mempunyai pencapaian yang baik sebelum ini," katanya.

Jelas Muizz, selain itu kepakaran dan khidmat Karamjit juga boleh digunakan untuk kejohanan tertentu seperti MAM Cross Rally yang berada dalam perancangan MAM, tetapi masih tidak dapat dilangsungkan kerana pandemik Covid-19.

"Ia perlumbaan di mana setengah trek adalah laluan rali manakala setengah lagi laluan tar. Kita boleh menggunakan kepakarannya dari pelbagai sudut di saingan seperti itu," katanya.

Karamjit menerusi laporan Arena Metro terpaksa menjual kereta kesayangannya, Proton Waja pada harga RM7,000 bagi mendapatkan modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab demi meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, tiada lagi harta yang tinggal dengan kereta, rumah dan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semuanya habis digunakan sebagai modal untuk berlumba rali di peringkat Asia Pasifik satu ketika dulu.

Nama Karamjit pernah meniti di bibir peminat permotoran pada era 1990-an dengan mendominasi kejuaraan rali di Malaysia.

Karamjit seterusnya mengorak langkah dengan menjadi juara pada Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada 2001.

Kejayaan paling diingati apabila beliau muncul juara dunia WRC untuk kategori Kereta Pengeluaran Dunia FIA pada 2002 walaupun pada tahun pertama percubaan. Dia pelumba Asia pertama memenangi kejuaraan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:45 AM