AZLAN rancang bersara daripada saingan ARRC.
AZLAN rancang bersara daripada saingan ARRC.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman menggalakkan barisan pelumba negara membuat penampilan semula di Kejuaraan Motosikal Dunia sekiranya mempunyai peluang berbuat demikian.

Jelas Azlan yang juga pernah beraksi di pentas tertinggi itu dalam kelas Moto2, barisan pelumba muda negara seharusnya tidak mensia-siakan peluang diperolehi kerana pentas Kejuaraan Dunia sememangnya menawarkan cabaran cukup berbeza.

Beberapa pelumba negara seperti Kasma Daniel Kasmayudin dan Adam Norrodin pernah beraksi di Kejuaraan Dunia namun kembali memilih beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas tidak berpeluang meneruskan karier mereka di pentas tertinggi itu.

"Teruskan, kerana umur mereka masih muda lagi. Masih ada masa untuk belajar dan perbaiki diri bersaing di Kejuaraan Dunia. Ini peluang untuk mereka, jadi bila ada peluang perlu ambil peluang itu.

"Apabila anda berlumba di pentas tertinggi, seseorang pelumba itu akan meraih banyak pengalaman berharga dan mempelajari perkara baharu," katanya.

Dia yang sudah menyatakan mahu bersara di saingan ARRC selepas berakhir musim depan berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai ramai pelumba berbakat serta berpeluang cerah beraksi di pentas tertinggi seperti di Kejuaraan Dunia.

"Kalau di ARRC, saya kira pelumba paling veteran sebab yang lain sudah bersara. Tapi saya tak nafikan generasi baru memang bagus-bagus.

"Pelumba seperti Kasma, Zaquan (Zaidi), Helmi (Azman) dan Adam, mereka semua ini pengganti terbaik pada masa akan datang," katanya.

Azlan sedang melakukan persediaan untuk Pusingan 4 ARRC di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 6 hingga 9 Oktober ini dalam kelas perdana ASB1000cc bersama ONEXOX BMW TKKR Team.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 5:31 PM