KASMA Daniel tahu Pusingan 2 akan menjanjikan satu persaingan sengit dan mencabar. FOTO Ihsan Yamaha Gen Blu Racing
KASMA Daniel tahu Pusingan 2 akan menjanjikan satu persaingan sengit dan mencabar. FOTO Ihsan Yamaha Gen Blu Racing
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Yamaha Gen Blu Racing Team Asean mahu mempamerkan aksi terhebatnya menjelang perlumbaan pusingan 2 Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) yang akan menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang esok.

Pada pusingan 1 yang berlangsung Julai lalu Kasma mempamerkan tunggangan mengagumkan apabila dua kali meraih podium juara pada perlumbaan pertama dan ketiga.

Namun dia yang berpengalaman beraksi di kejohanan dunia Moto2 terpaksa akur apabila tewas kepada Azlan Shah Kamaruzaman pada perlumbaan kedua dan terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas jenteranya berdepan masalah mekanikal.

Mengulas mengenai sasarannya pada perlumbaan pusingan 2 esok, pelumba berusia 22 tahun yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini berkata tidak tidak mempunyai sasaran khusus.

"Tiada sebarang sasaran khusus tapi saya tahu Pusingan 2 akan menjanjikan satu persaingan sengit dan mencabar yang akan di terima dari Zaqhwan (Zaidi) dan Azlan Shah.

"Kehadiran semula Azroy Hakeem Anuar yang akan mula beraksi dalam kelas MSBK1000 A turut perlu diberi perhatian.

"Namun begitu saya akan cuba yang terbaik untuk meraih kedudukan podium sekali lagi," katanya.

Dia turut berharap kehadirannya dalam saingan MSBK100 ini akan menghangatkan saingan terutama kepada pelumba yang lebih berpengalaman.

Biarpun tidak menjalankan sisi latihan khusus namun Kasma berkata dia berpegangan kepada prinsip 'Bekerja dalam diam, bukti dengan keputusan'.

Selepas tamat pusingan 1, Kasma kini mengungguli kedudukan carta pendahulu keseluruhan selepas meraih 70 mata, Azlan di tempat kedua 65 mata jauh meninggalkan Ahmad Danial Haiqal di kedudukan ketiga dengan 45 mata

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 2:04 PM