Kasma Daniel Kasmayuddin
Kasma Daniel Kasmayuddin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayuddin tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk kembali ke kancah motosikal dunia, namun fokusnya kini adalah Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) yang akan membuka saingannya Jun ini.

Kasma akan tampil buat kali pertama dalam kategori 1,000 cc bagaimanapun sedar tidak mudah untuknya memberikan cabaran terutama kepada pelumba berpengalaman.

Namun itu bukan alasan untuk pelumba berusia 20 tahun itu melakarkan kejutan menduduki podium.

"Saya memang dah lama tunggu untuk beraksi di ARRC. Sebenarnya dari tahun lalu saya sasarkan ARRC tapi dah dapat peluang ke GP (Grand Prix) saya terima sebab bukan senang untuk beraksi di Kejohanan Dunia.

"Jadi bila dapat balik ke ARRC memang tak sabar untuk berlumba. Tapi sasaran saya tidak terlalu tinggi sebab saya macam pelumba baharu dalam kategori 1,000cc, apa yang saya mahu adalah kumpul seberapa banyak mata dan beri saingan kepada pelumba berpengalaman," katanya.

Selain ARRC, bekas pelumba Onexox TKKR Racing Team itu turut memberi tumpuan dalam saingan Cub Prix.

Dia bagaimanapun tidak bernasib baik pada dua perlumbaan awal, namun berjanji untuk kembali memberi saingan pada pusingan ketiga di Litar Lumba Tangkak pada 22 hingga 23 Mei ini.

"Harapan saya untuk Cub Prix adalah untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan. Dua pusingan awal saya tak ada rezeki tapi saya akan kembali di pusingan ketiga nanti.

"Sebenarnya tiada masalah untuk saya beraksi dalam Cub Prix sebab saya memang dah ada asas lumba jadi tak ada masalah sangat, itu sebab saya rasa saya mampu untuk berikan saingan," kata bekas juara CP150 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 10:25 PM