PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc menunggang basikal menjelang Grand Prix Monaco, Ahad ini. FOTO REUTERS
PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc menunggang basikal menjelang Grand Prix Monaco, Ahad ini. FOTO REUTERS
Reuters

Monaco: Charles Leclerc memikul beban berat di Grand Prix (GP) Monaco, Ahad ini, ditambah mimpi ngeri di trek dalam bandar yang diketahuinya, namun pemandu Ferrari itu menafikan dia tertekan.

Pemandu berusia 24 tahun dari Monegasque itu mendahului kedudukan Formula Satu dengan kelebihan 19 mata sebelum GP Sepanyol, hujung minggu lalu dan dia hampir memenangi perlumbaan, tetapi terpaksa menarik diri kerana masalah unit kuasa jenteranya.

Ia menyebabkan kedudukannya dipintas pemandu Red Bull yang juga juara dunia, Max Verstappen, yang menang GP Monaco tahun lalu berikutan Leclerc gagal bermula dari petak utama.

Verstappen yang juga pemandu Belanda kini mendahului dengan kelebihan enam mata.

Sejak penampilan dalam F1 pada 2018, Leclerc belum pernah mendapat mata di Monaco yang juga tempat kelahirannya.

Tahun ini, dia menang dua perlumbaan dan berada di petak utama sebanyak empat kali daripada enam perlumbaan dan berpeluang muncul warga Monegasque pertama meraih mata di tempat sendiri selepas Louis Chiron menduduki tempat ketiga pada 1950.

Penyokong Ferrari sudah mula memasang kain pemidang dan berharap badi itu akan berakhir pada tahun ini.

"Saya tidak fikir mengenainya," kata Leclerc di kawasan paddock di tepi laut, hari ini.

"Sudah tentu, ia bukan trek yang membawa nasib baik kepada saya setakat ini, tetapi ini adalah kehidupan dan ia berlaku...ada masanya perkara berlaku bukan kehendak anda.

"Saya akan menggunakan pendekatan sama seperti dilakukan pada beberapa perlumbaan awal tahun ini kerana ia berkesan setakat ini."

Leclerc berkata, kemalangan di minit akhir peringkat kelayakan tahun lalu yang menyebabkan aci pemacu (driveshaft) rosak sehingga tidak dapat bermula di petak utama, berpunca daripada sikap terlalu mencuba.

Dia turut yakin masalah yang berlaku di Barcelona tidak akan berulang lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 8:14 AM