RICCIARDO (kiri) dan Norris ketika sesi perarakan pemandu di Grand Prix Hungary.
RICCIARDO (kiri) dan Norris ketika sesi perarakan pemandu di Grand Prix Hungary.
Agensi

London: Daniel Ricciardo dilapor meminta bayaran £17.3 juta (RM94.23 juta) untuk menamatkan kontraknya bersama McLaren.

Ricciardo difahamkan berunding dengan pasukan mengenai kemungkinan meninggalkan McLaren lebih awal dan menurut Speedcafe di Australia, Ricciardo mahukan £17.3 juta (RM94.23 juta) daripada McLaren untuk berbuat demikian.

Ia bagi membolehkan pasukan itu mengambil Oscar Piastri sebagai rakan sepasukan baharu kepada Lando Norris pada 2023.

Ricciardo satu-satunya pemenang perlumbaan dalam pasukan itu sejak sepuluh tahun lalu namun bergelut dengan prestasi sejak berpindah dari Renault pada 2021.

Sementara itu, Piastri menolak peluang untuk kekal bersama Alpine selepas McLaren berminat dengannya untuk mengibarkan cabaran pasukan musim depan.

Pelumba muda berusia 21 tahun dari Austalia itu menjuarai Formula 3 dan Formula 2 dua tahun berturut-turut dan McLaren sudah lama meminati Piastri yang dilatih bekas bintang Formula Satu, Mark Webber.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:08 PM