Reuters

London: Karier Daniel Ricciardo bersama McLaren akan berakhir pada hujung musim Formula Satu 2022 iaitu setahun sebelum kontrak pemandu Australia itu sepatutnya tamat, umum kedua-dua pihak, hari ini.

Ricciardo menyertai pasukan itu dari Renault pada hujung 2020, tetapi selepas memenangi Grand Prix (GP) Itali di Monza musim lalu dengan kedudukan satu dua, dia kemudian gagal menyamai prestasi rakan sepasukannya dari Britain, Lando Norris.

Berkongsi berita itu dengan 7.3 juta pengikutnya di Instagram menjelang perlumbaan GP Belgium hujung minggu ini, Ricciardo berkata, perkembangan itu membawa perasaan pahit dan manis.

"Kedua-dua pihak berusaha bersungguh-sungguh tetapi ia tidak membawa hasil yang diharapkan, jadi pasukan membuat keputusan untuk membuat perubahan pada tahun depan," kata pemandu berusia 33 tahun itu.

"Kami berbincang secara mendalam, tetapi akhirnya kami sepakat bahawa ia adalah perkara terbaik untuk kedua-dua pihak.

"Saya akan terus berjuang hingga akhir tahun ini, sudah tentu, dan akan meneruskan yang terbaik. Apa yang berlaku selepas ini, saya tidak pasti."

Tempat Ricciardo dijangka digantikan oleh rakan senegaranya, Oscar Piastri, 21, pemandu simpanan bagi pasukan dimiliki Renault iaitu Alpine.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 11:49 AM
PEMANDU Australia, Daniel Ricciardo akan meninggalkan McLaren pada hujung musim ini. FOTO AFP
PEMANDU Australia, Daniel Ricciardo akan meninggalkan McLaren pada hujung musim ini. FOTO AFP