HAMILTON (kanan) dikaitkan dengan perpindahan ke Ferrari pada 2025. FOTO REUTERS
HAMILTON (kanan) dikaitkan dengan perpindahan ke Ferrari pada 2025. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton kemungkinan melakukan perpindahan mengejutkan ke Ferrari untuk musim 2025, menurut beberapa laporan, hari ini.

Pasukan Itali itu mahu bintang Britain berusia 39 tahun itu bekerjasama dengan pemandu semasa, Charles Leclerc, menurut BBC, Sky, Autosport, akhbar Itali Gazzetta dello Sport dan media lain.

Ia akan menjadi satu tindakan yang mengejutkan memandangkan Hamilton sudah menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Mercedes untuk musim 2024 dan 2025.

Bagaimanapun perjanjian itu dilaporkan mengandungi klausa yang membenarkannya meninggalkan pasukan selepas semusim.

Hamilton memenangi gelaran dunia terakhirnya pada 2020 tetapi tewas kejuaraan 2021 kepada Max Verstappen, yang juga 13 tahun lebih muda daripadanya.

Pemandu Red Bull dari Belanda itu terus mendominasi manakala Hamilton menduduki tempat keenam dalam kedudukan pemandu pada 2022 dan ketiga pada 2023.

Ferrari, yang pernah mengakui mengadakan perbincangan dengan Hamilton pada 2019 mengenai kemungkinan menyertai pasukan itu pada masa hadapan, enggan mengulas mengenai laporan itu.

Jurucakap Ferrari berkata: "Kami tidak mengulas mengenai khabar angin."

Mercedes pula tidak menjawab apabila dihubungi AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 9:24 PM