SAINZ dikaitkan dengan perpindahan ke Mercedes. FOTO AFP
SAINZ dikaitkan dengan perpindahan ke Mercedes. FOTO AFP
Agensi

Paris: Carlos Sainz dipilih oleh Mercedes sebagai pengganti kepada Lewis Hamilton untuk musim Formula Satu (F1) 2025, menurut akhbar Itali, Gazzetta dello Sport.

Akhbar itu menegaskan bahawa Sainz akan menyertai Mercedes untuk perjanjian dua tahun sekali gus bergandingan bersama George Russell.

Khabar angin itu hadir kurang 24 jam selepas Fernando Alonso diumum kekal di Aston Martin pada 2025 dan seterusnya.

Alonso kerap dikaitkan dengan Mercedes, tetapi memutuskan untuk memberi komitmen kepada Aston Martin.

Dengan Alonso sudah menandatangani lanjutan kontrak, Sainz adalah pilihan terbaik yang tinggal di pasaran pemandu F1 untuk tahun depan.

Mercedes berharap Max Verstappen berminat untuk berhijrah selepas situasi tidak menentu di Red Bull.

Bagaimanapun, Verstappen dilihat akan kekal dengan Red Bull jika melihat kepada prestasinya di atas litar.

Verstappen sudah memenangi tiga daripada empat perlumbaan pembukaan musim 2024 dan kekal sebagai pilihan utama untuk memenangi kejuaraan dunia tahun ini.

Sainz adalah pilihan terbaik untuk Mercedes selepas mengharungi permulaan musim meyakinkan apabila menamatkan saingan di podium dalam ketiga-tiga perlumbaan termasuk melakar kemenangan di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 8:05 AM