HAMILTON memecut jentera Mercedes di Portimao, Portugal pada Ahad lalu. FOTO AFP
HAMILTON memecut jentera Mercedes di Portimao, Portugal pada Ahad lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Semua 1,200 petugas Mercedes bakal menerima bonus sekurang-kurangnya £10,000 (RM53,776) seorang jika pasukan Lewis Hamilton itu mengesahkan kejuaraan ketujuh berturut-turut pada Ahad ini.

Pendahulu kejohanan, Hamilton atau rakan sepasukan Valtteri Bottas hanya perlu menduduki tempat keempat di Grand Prix Emilia Romagna di San Marino untuk menambah koleksi Silver Arrow selain Hamilton sendiri berpeluang mengesahkan gelaran dunia ketujuhnya seawal di GP Turki dengan baki tiga perlumbaan.

Mercedes mendahului Red Bull dengan 209 mata dengan 220 lagi boleh diperolehi.

Pasukan berpangkalan di Brackley itu kini muncul pasukan keempat F1 paling berjaya tetapi boleh mengatasi Williams dengan dua lagi kemenangan.

Bagaimanapun, bekas juara 1996, Damon Hill berkata Hamilton mungkin boleh menjuarai 10 gelaran dunia tetapi statusnya sebagai yang terhebat boleh dipersoalkan akibat ketiadaan pencabar sebenar.

Hill percaya Hamilton perlu dicabar dan menewaskan pemandu lain yang sama taraf dengannya jika mahu melenyapkan sebarang kritikan.

"Terdapat risiko pencapaian Lewis yang boleh dianggap kurangnya intensiti saingan,'' kata Hill yang menewaskan Schumacher untuk muncul juara.

"Mercedes jelas mendominasi era ini tetapi Lewis tidak tercabar.''

Hamilton kini mendahului 77 mata di hadapan pencabar terdekat, Bottas yang bersetuju untuk kekal bersama pasukan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 12:17 PM