HAMILTON (kanan) bersalaman dengan Vettel selepas mereka menguasai petak utama dan kedua menjelang perlumbaan GP Brazil, awal pagi esok. FOTO Reuters
HAMILTON (kanan) bersalaman dengan Vettel selepas mereka menguasai petak utama dan kedua menjelang perlumbaan GP Brazil, awal pagi esok. FOTO Reuters
Reuters

SAO PAULO: Juara Formula Satu dunia, Lewis Hamilton memenangi petak utama ke-100 buat Mercedes pada Grand Prix Brazil, awal pagi hari ini dengan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang didenda dan disiasat kerana insiden timbangan, bermula di sampingnya.

Petak utama diraih pada sesi terjejas kerana hujan di Interlagos itu meneruskan rekod Hamilton kepada 82 sepanjang kariernya dan ke-10 buatnya musim ini yang sudah menyaksikan pemandu Britain itu merangkul kejuaraan dunia kali kelima.

Mercedes akan memastikan kejuaraan pengeluar pada perlumbaan awal pagi esok kecuali Ferrari mengatasi mereka lebih daripada 13 mata.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, yang meraih petak utama di Brazil tahun lalu, layak di tangga ketiga dengan pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen di tangga keempat bagi memastikan barisan kedua dikuasai pelumba Finland.

“Ia sesi kelayakan sukar,” kata Hamilton, yang tidak pernah sebelum ini meraih petak utama selepas memenangi kejuaraan dengan perlumbaan masih berbaki.

“Cuaca turun dan naik dan kami tidak tahu apa yang boleh diramalkan. Jelas Ferrari amat pantas hujung minggu ini.

“Saya tidak tahu sama ada saya menang petak utama atau sebaliknya. Secara jujur, pusingan terakhir tidaklah hebat mana. Di beberapa tempat saya gagal mengawal kenderaan dengan baik,” ujar pemandu Britain itu, yang mempunyai lima bintang dan mendiang Ayrton Senna dari Brazil dilukis di topi keledarnya.

Dia satu-satunya pemandu yang meningkat pada pusingan terakhirnya selepas terdahulu meraih petak utama secara tidak rasmi dengan masa satu minit 07.281 saat - rekod litar dan lebih satu saat pantas berbanding petak utama tahun lalu.

Hamilton dan Vettel menjadi bahan perbualan pada sesi kelayakan itu selepas Hamilton bernasib baik tidak disiasat steward apabila hampir berlaga dengan jentera Williams dipandu Sergey Sirotkin dari Russia pada fasa kedua.

Raikkonen turut terpaksa mengelaknya dalam satu lagi insiden.

Siasatan steward ke atas Vettel wajar selepas dia dipanggil masuk untuk timbangan pada masa genting fasa kedua. Dengan satu kon menghalangnya ke tempat timbangan, dia memandu masuk dan dengan marah menggesa pegawai supaya cepat sebelum keluar semula dalam apa yang dilihat sebagai perlanggaran peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 11:58 AM