HAFIZH (kiri) bersama isterinya Suzana. Hafizh pamer bakat bersama Pescao FT (kanan). Foto Instagram hafizh_syahrin
HAFIZH (kiri) bersama isterinya Suzana. Hafizh pamer bakat bersama Pescao FT (kanan). Foto Instagram hafizh_syahrin
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelumba Superbike profesional Hafizh Syahrin Abdullah bagaikan tidak sabar menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga kecilnya apabila dia dijangka menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Isterinya Noor Suzana Abdul Manaf difahamkan akan melahirkan anak sulung pasangan itu pada Mac ini, sebulan sebelum Hafizh memulakan karier permotoran terbaharunya pada Kejuaraan Superbike Dunia.

"Baby, Daddy can't wait to see you (Anakku, Ayah tidak sabar untuk melihatmu)," tulisnya dalam perkongsian di laman Instagram yang mana dia memuat naik video pendek sedang mengusap-usap perut isterinya yang sarat mengandung selepas menjamu selera di sebuah restoran.

Hafizh, 27, berkahwin dengan Noor Suzana, seorang peragawati busana Muslimah, pada 14 Disember 2017 dan masih belum dikurniakan cahaya mata sehinggalah pelumba itu mengesahkan bakal menimang anak sulung ketika percutian di London baru-baru ini.

Pelumba pasukan satelit Honda, MIE Racing yang akan membuat kemunculan sulung pada Kejuaraan Superbike Dunia di Aragon, Sepanyol awal April ini, turut berbelah bagi dengan aktivitinya ketika ini bermain bola sepak, mengayuh basikal dan latihan motosikal.

"Bola, basikal, latihan moto, ulang," tulisnya dalam hantaran terbaharu di media sosial.

"Ujian rasmi moto pada Mac, jangan banyak tanya dah deh katok atah pale kang... gurau2 je deh. Saya kalau boleh sekarang nak test tapi Januari secara rasmi tak boleh test dan Februari bike saya tengah prepare oleh team," katanya bagi menjawab pertanyaan peminat dan warganet di media sosial.

Bekas pelumba MotoGP dan Moto2 itu dilihat aktif berbasikal, berkesempatan berlatih dengan pasukan ternama negara ini Terengganu Cycling Team (kini Terengganu Polygon Team) atau TSG bulan lalu malah Hafizh diturunkan mewakili negeri Pantai Timur itu pada Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan di Melaka sekalipun tidak menghabiskan perlumbaan.

Hafizh juga sering bermain bola sepak dengan mengadakan perlawanan persahabatan pada sebelah malam bersama pasukan amaturnya Pescao FT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:54 PM