HAFIZH mahu fokus GP Valencia terlebih dahulu.
HAFIZH mahu fokus GP Valencia terlebih dahulu.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Mungkinkah Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) akan menjadi destinasi seterusnya untuk pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada musim depan?

Itu persoalan ketika ini selepas pelumba Moto2 negara yang beraksi bersama NTS RW Racing GP itu dikaitkan akan menyertai pasukan MIE Racing Honda Team di kejohanan berprestij itu.

Difahamkan ketika ini perbincangan antara Hafizh, pasukan dan Honda sedang berlangsung dan jika tiada sebarang halangan, pelumba berusia 27 tahun itu bakal bertukar angin ke WSBK musim depan selepas lapan tahun beraksi pada musim penuh Kejohanan Motosikal Dunia.

MIE Racing Honda Team adalah pasukan berstatus satelit yang mendapat kerjasama daripada pengeluar Honda dan pasukan sokongan kepada pasukan utama, HRC Honda.

Hafizh bagaimanapun masih mengunci mulut berhubung perkara itu dan menyatakan hanya akan memberitahu segala perkembangan terkini berhubung kariernya selepas perlumbaan terakhir musim ini di Grand Prix (GP) Valencia, minggu ini.

Fokusnya kini hanya terarah untuk mempamerkan aksi dan keputusan terbaik pada perlumbaan terakhirnya di Kejohanan Dunia selepas melakukan kesilapan pemilihan tayar pada perlumbaan minggu lalu di GP Algarve yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18.

"Bagi saya perlumbaan minggu lagi sangat positif, cuma pada perlumbaan sebenar kami tidak dapat buat yang terbaik dan saya harap di Valencia kami dapat buktikan lebih baik daripada keputusan sebelum ini.

"Saya jangkakan keadaan cuaca di Valencia pun hujan, jadi kita tak tahu macamana lagi. Saya cuma berharap segalanya berjalan dengan lancar," katanya.

Hafizh melakukan penampilan musim penuh pertama pada 2014 di kelas Moto2 sebelum beraksi di saingan MotoGP pada 2018 sekali gus melakar sejarah selaku pelumba Asia Tenggara pertama beraksi di kelas perdana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 5:32 PM