HAFIZH (kanan) bersama Harrif. FOTO Instagram hafizh_syahrin
HAFIZH (kanan) bersama Harrif. FOTO Instagram hafizh_syahrin
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Jika pelumba berbasikal profesional negara Mohd Harrif Saleh menunggang kapcai di hujung minggu untuk menguatkan stamina, bekas pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah sebaliknya apabila dia berkayuh sepeda untuk mengekalkan stamina menghadapi perlumbaan.

Bagaimanapun Hafizh, 27, lebih ke depan sedikit apabila dia tanpa diduga mewakili Terengganu dalam kategori elit pada Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan di Melaka semalam sekalipun tidak menamatkan perlumbaan sejauh 180.6km itu.

Dalam hantaran terbaharu di laman Instagram, Hafizh berkongsi pengalamannya selain meluahkan rasa gemuruh yang amat sangat, jauh berbeza ketika berlumba dalam kategori Moto2 mahupun MotoGP sebelum ini.

HAFIZH (tiga dari kanan) bersama pasukan Terengganu pada Kejohanan Kebangsaan di Melaka. FOTO Facebook Nizam Skoda Burger
HAFIZH (tiga dari kanan) bersama pasukan Terengganu pada Kejohanan Kebangsaan di Melaka. FOTO Facebook Nizam Skoda Burger

"Terima kasih pasukan @terengganucyclingteam kerana memberi saya peluang untuk berlatih bersama pelumba kebangsaan dan tak lupa juga kepada Terengganu kerana memberi saya peluang untuk berlumba pada Kejohanan Kebangsaan kali ini.

"Ini adalah perlumbaan elit pertama saya dan saya minta maaf kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan ini atas faktor kondisi badan saya. Mungkin terlalu letih dan gemuruh.

"Dalam ruangan komennya, Hafizh turut menambah: "Race moto dok guruh gini woii but fun.

"Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) yang memberikannya pengalaman berharga termasuk Harrif, abangnya Mohd Zamri Saleh, Wan Abdul Rahman Hamdan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Mohd Shahrul Mat Amin, Afiq Othman, Adiq Husainie Othman, Muhammad Nor Aiman Mohd Zariff, Muhammad Zulhilmie Afif, Muhammad Mirza Haikal dan bekas pelumba negara Anuar Manan.

Difahamkan, Hafizh dan pelumba TSG mempersiapkan diri untuk menyertai Kejohanan Kebangsaan dengan berkayuh dari Terengganu sejak seminggu lalu menerusi laluan Kuala Terengganu-Kuantan sejauh 206 kilometer diikuti Kuantan-Segamat (172km) dan terakhir Segamat-Melaka (103km).

Selain berkayuh, dia juga sering dilihat memuat naik di laman sosial aktivitinya bermain bola sepak persahabatan bersama pasukan amaturnya Pescao FT dan pernah berdepan pasukan yang membariskan beberapa bekas pemain kebangsaan.

Hafizh, yang berlumba dalam MotoGP selama dua musim pada 2018 dan 2019, mengakhiri kariernya dalam Moto2 musim lalu dan kini akan bersaing dalam Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) tahun depan bersama pasukan satelit Honda, MIE Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 4:13 PM