Pemandu Ferrari Charles Leclerc jadi sandaran pasukannya.  FOTO AFP.
Pemandu Ferrari Charles Leclerc jadi sandaran pasukannya. FOTO AFP.
AFP

PEMANDU baru Ferrari Charles Leclerc hanya berusia 21 tahun dan pelumba termuda kedua dalam sejarah perlumbaan paling popular, Formula Satu.

Namun dia sudah mencipta gelombang dalam musim Grand Prix keduanya dengan kematangan yang dipamerkan selaku pemandu muka baharu buat Sauber tahun lalu.

Dia menamatkan saingan di tangga ke-13 keseluruhan dalam kejuaraan pemandu dengan satu kedudukan enam terbaik.

Dilahirkan di litar ikon Grand Prix, Monte Carlo, Leclerc dilihat dari usia muda selaku prospek hebat seorang pelumba.

Bapanya Herve ialah pemandu Formula 3 dan Leclerc berlumba buat kali pertama pada usia hanya empat tahun di litar kepunyaan rakan baik bapanya, Philippe Bianchi.

Anak kepada Philippe, Jules Bianchi, adalah mentor dan contoh kepada Leclerc, mencipta nama dalam perlumbaan sebelum terbabit dalam kemalangan tragik di Grand Prix Jepun pada 2014.

Jangkaan amat tinggi musim ini bahawa Ferrari dan rakan sepasukan Leclerc, Sebastian Vettel boleh memecahkan kubu kebal juara dunia, Lewis Hamilton dan memenangi gelaran dunia bagi gergasi Itali itu buat pertama kali sejak 2007.

Hamilton berjuang untuk kejuaraan keenam berturut-turut tahun ini. Namun pelumba berpengalaman dan empat kali juara dunia, Vettel, 31 lebih pantas daripada kesemua pemandu ketika ujian pra musim di Sepanyol pada Februari lalu. Menariknya, Leclerc hanya berada hampir di belakangnya di kedudukan kedua.

Warga Monaco itu ialah produk akademi perlumbaan Ferrari dan dia selesa dengan cara orang Itali melakukan tugasan menjelang perlumbaan pembuka tirai hujung minggu ini di Australia.

“Saya serasi dengan pasukan Itali,” katanya. “Ia menjadikannya lebih mudah apabila kami berjumpa, contohnya mekanik di Ferrari.

“Apa yang saya sentiasa suka dengan orang Itali ialah mereka serius apabila perlu dan tahu bagaimana untuk berehat dan sesekali ketawa.

“Itu amat penting untuk keseimbangan hidup buat pemandu, untuk mendapat persefahaman dengan pasukan.

Leclerc menyertai Akademi Elite Ferrari pada 2016 dan dia ditauliahkan untuk memenangi tempat kokpit sebagai pemandu Ferrari Grand Prix.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 1:28 PM