Dari kiri - Dixon, Damok dan McPhee. Pix Petronas SRT
Dari kiri - Dixon, Damok dan McPhee. Pix Petronas SRT
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Syarifuddin Azman bakal membuat penampilan kali pertama di Kejohanan Motosikal Dunia apabila diberi peluang beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto3 di Grand Prix Aragon, 10 September ini.

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok, menggantikan tempat John McPhee yang diberi peluang beraksi di Moto2 selepas Jaxe Dixon terus diberi peluang beraksi di kelas perdana, MotoGP.

Damok yang beraksi pada musim penuh perlumbaan FIM CEV Junior dan memenangi pusingan perlumbaan di Barcelona, Jun lalu nyata gembira dengan peluang diberikan itu.

"Saya sangat teruja untuk beraksi di Kejohanan Dunia Moto3 dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada Petronas Sepang Racing Team kerana memberi peluang ini.

"Ia peluang yang sangat berharga yang tidak selalu berlaku. Saya akan bekerja keras untuk memberikan yang terbaik pada hari perlumbaan," katanya.

Sementara itu, prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, Damok menunjukkan perkembangan yang positif pada musim ini dan atas faktor itu pihaknya memberi peluang kepadanya.

Damok akan beraksi bersama-sama Darryn Binder dalam saingan Moto3 di Aragon manakala McPhee bersama-sama Xavi Vierge di kelas Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:23 PM