DARI kiri - Dixon, Damok dan McPhee. Pix Petronas SRT
DARI kiri - Dixon, Damok dan McPhee. Pix Petronas SRT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara yang diberi peluang beraksi di pentas Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam aksi Moto3, Sharifuddin Azman tidak sabar untuk beraksi di Grand Prix (GP) Aragon, esok.

Sharifuddin atau lebih mesra dipanggil Damok akan beraksi buat kali pertama bagi mengambil alih tempat John McPhee bersama pasukan Petronas Sprinta Racing.

McPhee diberi peluang beraksi dalam kelas Moto2 selepas Jake Dixon ke kelas perdana, MotoGP.

Namun pada sesi ujian bebas pertama, Damok yang muncul juara perlumbaan FIM CEV Junior di Barcelona Jun lalu terbabit dengan kemalangan selepas bertembung dengan pelumba Sepanyol, Adrian Fernandez.

Bagaimanapun tiada kecederaan serius dilaporkan dengan Damok kini sudah bersedia untuk beraksi selepas menunjukkan peningkatan dalam sesi latihan kedua.

"Sesi latihan pertama itu saya terbabit dengan kemalangan tapi dapat sambung balik untuk sesi kedua. Saya cuba untuk kekalkan rentak dan memperbaiki tunggangan pada setiap pusingan.

"Apa yang boleh saya katakan sesi latihan kali ini memberi keputusan positif dan saya berterima kasih kepada pasukan yang bekerja keras," katanya yang menempatkan diri di kedudukan ke-24 selepas sesi ujian kedua dengan catatan masa 2 minit 645 saat.

Damok akan beraksi bersama Darryn Binder dalam saingan Moto3 berharap peluang yang diberikan itu dapat digunakan sebaik mungkin dan memohon seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:00 PM