Adam Norrodin berbincang dengan pasukannya.
Adam Norrodin berbincang dengan pasukannya.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persiapan pelumba muda negara, Adam Norrodin menjelang Kejuaraan CEV Moto2 Eropah berada dalam keadaan positif dengan Litar Estoril memberikan ruang buat pasukan mencari pelarasan terbaik menjelang pusingan pertama hujung minggu depan.

Menurut pelumba berusia 22 tahun itu yang sudah beraksi selama tiga tahun dalam saingan CEV, ujian yang berlangsung di litar sama bagi perlumbaan pusingan satu minggu depan memberikannya sedikit masa untuk membiasakan diri di trek berkenaan.

"Setakat ini semuanya OK. Masih ada yang perlu dicari tetapi semuanya berlangsung dengan positif sebab ia berlangsung di trek sama yang kami akan sertai perlumbaan nanti," kata Adam yang musim lalu menamatkan kempen saingan di tempat ketujuh keseluruhan dengan 79 mata.

Ujar bekas pelumba Moto3 itu, dengan sesi ujian selama dua hari, mereka memperoleh banyak masa untuk meningkatkan keupayaan bersama jentera.

"Bagi saya, kerjasama dalam pasukan juga amat bagus pada tahun ini. Daripada sudut pelarasan jentera, masih ada kekurangan tetapi ia bukan satu masalah besar dan kita akan terus mencuba. Tak banyak yang perlu diubah, hanya sedikit saja lagi," katanya.

Adam yang menyertai saingan CEV Moto2 Eropah selepas meninggalkan kem Moto3 Petronas Sprinta Racing pada 2018 menunjukkan peningkatan daripada sudut prestasi dan menyasarkan penamat yang lebih baik pada musim ketiganya kali ini.

Pelumba kelahiran Johor itu meletakkan sasaran untuk menamatkan musim ini dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan dengan prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali turut 'menjanjikan' slot untuk Adam kembali ke saingan dunia tahun depan sekiranya memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pada musim pertamanya di CEV Moto2 Eropah 2019, Adam yang dikenali dengan julukan 'Torete' itu menamatkan kempen di tempat ke-15 keseluruhan dengan mengumpul 15 mata selain turut diberi tanggungjawab oleh pasukan Moto2 Petronas Sprinta Racing menggantikan Khairul Idham Pawi yang mengalami kecederaan sebanyak tujuh pusingan musim.

Tahun lalu, Adam menunjukkan peningkatan apabila mengumpul 79 mata untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan, 19 mata di belakang penghuni tangga kelima yang menjadi sasarannya pada musim berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 5:58 PM