VERSTAPPEN akur terlepas peluang muncul juara perlumbaan sulung musim ini. FOTO AFP
VERSTAPPEN akur terlepas peluang muncul juara perlumbaan sulung musim ini. FOTO AFP
Agensi

London: Red Bull mempertahankan strategi yang mereka gunakan ketika Grand Prix (GP) Bahrain selepas terlepas peluang untuk meraih kejayaan dengan Max Verstappen memberikan penguasaan kepada seteru utama, Mercedes.

Verstappen mendahului di awal saingan sejak di petak utama namun ketinggalan di belakang Hamilton selepas pelumba Mercedes itu menjadi pelumba pertama memasuki pit.

Red Bull kemudiannya mengarahkan Verstappen masuk ke pit buat kali kedua, dengan harapan pelumba mereka itu memperoleh tayar lebih ampuh menjelang hujung perlumbaan.

Verstappen berjaya mengejar dan memintas pelumba Mercedes itu, namun diminta memberi laluan kepada kepada Hamilton selepas tersasar keluar dari kawasan litar.

Insiden berkenaan berlaku di selekoh keempat ketika dia cuba memintas Hamilton.

Bagaimanapun, Ketua Jurutera Red Bull, Paul Monaghan berkata, strategi Mercedes langsung tidak mengejutkan mereka.

"Tidak, saya rasa kami tidak terkejut. Ya, kami memanggil Max lebih awal untuk memasuki pit buat kali kedua. Bagaimanapun, kami akan mengejar Lewis dengan tayar yang sudah tidak 'segar'.

"Jadi ia sama saja sama ada dia memasuki lewat atau awal dan mempunyai kelebihan dari segi tayar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 3:17 PM