VERSTAPPEN muncul juara GP Jerman di  Hockenheim. - FOTO Agensi
VERSTAPPEN muncul juara GP Jerman di Hockenheim. - FOTO Agensi
Reuters

RED Bull mencipta rekod Formula Satu di Grand Prix Jerman apabila empat tayar pemenang perlumbaan, Max Verstappen ditukar dalam masa hanya 1.88 saat berdasarkan catatan rasmi.

Rakan logistik F1, DHL menganjurkan anugerah tahunan hentian pit terpantas dengan mata dikumpul sepanjang musim. Red Bull kin mendahului Williams dalam carta selepas 11 daripada 21 perlumbaan dengan Ferrari di tempat ketiga.

Ini perlumbaan kedua berturut-turut krew mekanik Red Bull mengatasi rekod selepas mencatat 1.91 saat ke atas jentera pelumba Perancis, Pierre Gasly di Grand Prix British, dua minggu lalu.

Verstappen melakukan lima hentian pit ketika perlumbaan huru-hara di Hockenheim dan Gasly empat dengan yang terpantas ketika pusingan 46 daripada 64 pusingan.

Pengurus Red Bull, Christian Horner mengarahkan ketua mekanik, Phil Turner naik ke podium menerima trofi kategori pengeluar.

"Krew hentian pit sangat menakjubkab hari ini (Ahad),” kata Horner.

Pasukan Mercedes yang terkejut dengan salah satu daripada lima hentian pit juara dunia lima kali, Lewis Hamilton ketika perlumbaan di Jerman gagal melakukan hentian kurang 2.50s.

Hamilton turut berhenti 50 saat selepas jenteranya melanggar penghadang yang menyaksikan mekanik terpaksa membuat penukaran sayap depan selain menukar tayar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 8:30 AM