MUZAKKIR menunggu hampir 10 tahun untuk memenangi perlumbaan. FOTO Ihsan TKKR
MUZAKKIR menunggu hampir 10 tahun untuk memenangi perlumbaan. FOTO Ihsan TKKR
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Md Muzakkir Mohamed membuktikan usaha tanpa mengenal erti putus asa akhirnya membuahkan hasil apabila dia memenangi perlumbaan kategori CP150 pada pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang juga kemenangan pertamanya di saingan itu.

Jelas pelumba ONEXOX TKKR Racing Team itu, dia sememangnya sangat menanti-nantikan kemenangan pertama itu sejak terbabit dengan perlumbaan Cub Prix bermula tahun 2013.

"Saya menunggu hampir 10 tahun untuk memenangi perlumbaan ini. Saya pernah menang di ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia) untuk kategori 250cc tetapi kemenangan itu ditarik balik kerana ada kesilapan teknikal.

"Sebab itu saya menunggu sampai saat ini untuk membuktikan kepada keluarga, pasukan dan kawan-kawan yang sentiasa beri kepercayaan kepada saya.

"Walaupun sudah berusia hampir 30 tahun, tapi semua orang di sekeliling masih meletakkan kepercayaan kepada saya," katanya selepas tamat perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Dengan kemenangan itu, Muzakkir mahu mempamerkan aksi konsisten pada baki sembilan pusingan selepas ini.

"Bagi saya saingan musim 2021 adalah paling mencabar sebab ramai pelumba berpengalaman kembali berlumba. Tapi itu semua bukan penghalang untuk saya bersaing dengan mereka.

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi dengan prestasi jentera yang sangat laju di laluan lurus. Harap saya dapat teruskan momentum ini pada pusingan seterusnya," katanya.

Muzakkir mencatat masa terpantas 14 minit 12.181 saat mengatasi pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Md Izzat Zaidi Md Salehan di tempat kedua manakala Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing meraih tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 5:23 PM