IZAM mahu lebih cemerlang di  Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara.
IZAM mahu lebih cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Meraih tempat ketujuh bukan sesuatu diingini pelumba SCK Honda Racing Team, Md Izam Ikmal di Pusingan Pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas hujung minggu lalu.

Disebabkan itu pelumba berusia dia mahu segera mencari jalan penyelesaian bagi mempertingkatkan kemampuan diri menjelang aksi pusingan kedua yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara dari 3 hingga 4 April ini.

"Bukan jalan terbaik untuk memulakan musim tetapi kami berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh," kata pelumba berusia 19 tahun itu yang sebelum ini pernah menyertai Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia.

Ujarnya, dia akan melakukan sesuatu lebih baik berbanding pusingan pertama dan sudah pasti tidak sabar untuk beraksi di pusingan seterusnya.

"Terima kasih kepada penaja, SCK Racing dan semua yang mempercayai saya pada tahun ini," kata Izam.

Pada saingan CP150 di SIC Selatan hujung minggu lalu, Izam menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan catatan masa 14 minit 13.193 saat manakala rakan sepasukan yang juga juara bertahan, Md Helmi Azman berada di tempat kelapan, 14:13.256s.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Md Muzakkir Mohamed meraih kemenangan sulungnya dalam kelas perdana dengan catatan keseluruhan terpantas, 14:12.181s manakala Md Izzat Zaidi Md Salehan (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) muncul naib juara, 14:12.446s.

Ahmad Afif Amran dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing yang juga juara keseluruhan bagi musim 2018 dan 2019 melengkapkan pentas podium dengan berada di tempat ketiga dengan catatan, 14:12.503s.

Pada musim lalu, Izam menamatkan kempen dengan mengumpul 46 mata untuk berada di tangga ke-11 keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 7:03 PM