Kasma Daniel Kasmayudin (atas motosikal) dalam satu perlumbaan di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol baru-baru ini. FOTO Ihsan FB Kasma Daniel Kasmayudin.
Kasma Daniel Kasmayudin (atas motosikal) dalam satu perlumbaan di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol baru-baru ini. FOTO Ihsan FB Kasma Daniel Kasmayudin.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Arena permotoran sukan negara terus suram apabila seorang lagi pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin mengucapkan selamat tinggal kepada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Kasma, 20, yang mengumumkannya di laman sosial Instagram miliknya mengakui tidak akan bersama pasukan dari Sepanyol, SAG Team dalam saingan Moto2 lagi.

Dia difahamkan tidak akan menyambung kontrak sedia ada, yang sepatutnya berakhir pada penghujung musim 2022.

Jelas Kasma, dia menghargai pengalaman yang diraih selama semusim dengan SAG Team meskipun gagal menggenggam sebarang mata dalam 14 perlumbaan disertainya musim ini.

"Saya bersyukur dengan pengalaman dan bimbingan yang diberikan oleh SAG kepada saya. Saya mendoakan SAG yang terbaik untuk masa depan.

"Terima kasih juga kepada (penaja utama SAG Team) TKKR Racing Team, yang memberikan saya peluang ini pada tahun 2020," tulisnya.

Bagaimanapun difahamkan, walaupun tidak berlumba dalam MotoGP, Kasma mungkin akan beralih angin kepada perlumbaan lebih bawah seperti Kejuaraan FIM CEV Repsol dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Pada masa sama, pihak pengurusan juga sedang berbincang dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk menampung perbelanjaan musim 2021.

Sebelum ini, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi mengumumkan keputusan untuk berehat seketika daripada kancah permotoran selepas Petronas Sprinta Racing Team (SRT) tidak menyambung kontraknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:24 PM