Kasma Daniel Kasmayudin
Kasma Daniel Kasmayudin
Aida Adilah Mat


PELUMBA Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin cukup bersemangat untuk memburu gelaran pelumba rokie terbaik dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini biarpun dunia diserang dengan pandemik Covid-19.

Kasma akan membuat penampilan bersama pasukan tempatan, ONEXOX TKKR SAG Team pada siri perlumbaan kedua di litar Jerez, Sepanyol 19 Julai ini tetap optimis untuk mengumpul sebanyak pengalaman yang mampu dalam usaha memburu gelaran rokie terbaik.

"Saya sudah membuat persediaan dengan mengadakan latihan bersama pelumba ZK racing dan pelumba dari SIC. Latihan fizikal pula dilakukan di gimnasium setiap hari.

"Saya harap apa yang dilakukan ini akan dapat membantu saya untuk mengutip banyak pengalaman kerana saya masih baru di Kejohanan Dunia ini," katanya yang akan berlepas ke Sepanyol pada 5 Julai ini.

Biarpun dimaklumkan bahawa penganjur Kejohanan Dunia MotoGP tidak membenarkan untuk menjalani sesi latihan persendirian namun ia bukan masalah besar kerana ia hanya membabitkan motosikal perlumbaan dan masih dibenarkan untuk membuat latihan menggunakan jentera yang lain.

Kejohanan MotoGP Dunia 2020 membabitkan 13 pusingan perlumbaan di Eropah antara Julai dan November, dengan terdapatnya potensi untuk empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.

Pusingan pertama menyaksikan pasukan akan ke Sepanyol untuk perlumbaan dua minggu di Jerez, iaitu pada 19 dan 26 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 9:23 PM