MARQUEZ masih ditahan di hospital. FOTO AFP
MARQUEZ masih ditahan di hospital. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez mengalami jangkitan kuman di pergelangan tangan kanannya yang patah dan akan menjalani rawatan antibiotik dalam tempoh beberapa minggu lagi sekali gus kekal ditahan di Hospital Ruber Internacional.

Selepas selesai menjalani pembedahan kali ketiga ditangan kanannya itu Khamis lalu, Repsol Honda menerusi satu kenyataan memberikan perkembangan terbaharu mengenai Marquez.

Bintang Sepanyol itu terpaksa menjalani pembedahan lagi selepas tulang yang patah berikutan kemalangan ketika aksi pra musim di Jerez 19 Julai lalu, dijangkiti kuman atau nama saintifiknya pseudarthrosis.

"Marquez berada dalam situasi memuaskan selepas pembedahan yang dilakukan pasukan perubatan di Hospital Ruber Internacional.

"Bagaimanapun, terdapat jangkitan kuman pada bahagian yang patah itu sekali gus menyaksikan Marquez perlu menjalani rawatan antibiotik dalam tempoh beberapa minggu lagi," kata Repsol Honda dalam satu kenyataan.

Persoalan kini ialah sama ada Marquez sempat pulih sepenuhnya untuk mengharungi musim baharu tahun depan.

Ia akan bermula dengan aksi pra musim di Sepang pertengahan Februari.

Ujian seterusnya pula akan berlangsung di Qatar yang kemudian akan menganjurkan pusingan pertama MotoGP pada 28 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 9:10 PM