NEYMAR tetap  menarik minat beberapa kelab ternama.
NEYMAR tetap menarik minat beberapa kelab ternama.
Agensi

Paris: Neymar kini dilaporkan dalam proses rundingan lanjut mengenai perpindahan ke kelab Arab Saudi Al-Hilal, menurut laporan hari ini.

Bintang Brazil itu memberitahu Paris Saint-Germain minggu lalu dia mahu meninggalkan kelab dan menggesa pengurusan mencarikannya kelab baharu yang sekali gus menarik minat serata Eropah.

Al-Hilal tidak ketinggalan menaruh harapan dan kini dalam rundingan lanjut dengan Neymar, menurut Fabrizio Romano.

Kertas kerja akan dihantar kepada kem Neymar dan terpulang kepada pemain itu sama ada mahu menyertai mereka atau tidak.

Barcelona turut berharap dapat menandatangani semula pemain berusia 31 tahun itu yang meninggalkan Nou Camp untuk ke PSG dengan rekod dunia pada 2017.

Neymar difahamkan berminat kembali semula ke Barca tetapi gergasi Sepanyol itu mungkin tidak mampu menyediakan £70 juta (RM407 juta) untuk mendapatkannya.

Al-Hilal dijangka tidak bermasalah mengeluarkan bajet mega walaupun sudah melaburkan £150 juta (RM873 juta) pada musim panas ini apabila menandatangani Kalidou Koulibaly, Ruben Neves, Sergej Milinkovic-Savic dan Malcolm.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 6:38 PM