UMAR Osman. FOTO NSTP/FATHIL ASRI.
UMAR Osman. FOTO NSTP/FATHIL ASRI.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m), Umar Osman ingin menjadikan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang akan bermula esok di Stadium Darul Makmur, Pahang sebagai medan terbaik untuk dia melakukan catatan terbaik musim ini.

Jelasnya, perkara itu amat penting untuk dirinya kerana keputusan di kejohanan itu sedikit sebanyak mampu mempengaruhi dia ke Universiti Auburn, di Amerika Syarikat itu nanti.

Selain itu, dia juga memaklumkan dirinya kini sudah bebas dari sebarang kecederaan sekaligus memberi bayangan untuk kembalikan prestasi terbaiknya.

"Terbuka Malaysia adalah kejohanan yang ketiga untuk saya tahun ini, jadi saya akan cuba untuk buat masa yang lebih baik daripada kejohanan saya sebelum ini.

"Jadi, saya sasarkan catatan masa untuk beri keyakinan kepada Universiti Auburn untuk lebih percaya saya, untuk ambil saya dengan penuh yakin. Maksudnya, tak ada waswas untuk ambil saya ke Universiti Auburn.

"Disebabkan itu, saya ingin lakukan catatan terbaik musim ini bagi mendapatkan lagi keyakinan diri saya. Untuk menyamai rekod kebangsaan belum letak lagi, tapi saya cuma nk buat 'season best' saya tahun ini, lepas saya buat itu, baru boleh tahu saya boleh pecahkan rekod kebangsaan lagi atau tidak.

"Saya 'fresh' untuk lakukan catatan masa terbaik. Jadi saya letakkan harapan tinggi juga dalam 46 saat (s) lebih macam itu tapi bukan pecah rekod kebangsaan,"katanya.

Untuk rekod, catatan terbaiknya dalam acara 400m adalah 46.09s yang juga rekod kebangsaan dilakukan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Ogos tahun lalu, sementara catatan terbaik musim ini pula adalah 47.35s.

Pada masa sama, pelari muda ini menyedari bakal menghadapi saingan dari beberapa negara lain namun dia tetap fokus dan ingin memberikan aksi yang terbaik dalam setiap perlumbaan.

"Bagi saya kejohanan Terbuka Malaysia ini tiada tekanan untuk saya walaupun ada atlet luar tapi saya akan lakukan yang terbaik untuk saya kalahkan pesaing saya dan cuba menang di tempat sendiri,"kata Umar.

Kejohanan berkenaan akan bermula esok sehingga Ahad ini dan negara seperti Rusia, Singapura, Australia dan beberapa negara lain lagi turut memeriahkan pertandingan itu.

Untuk rekod, Kejohanan Terbuka Malaysia akan terarah kepada dua atlet kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samsons Vallabouy bagi mencari catatan masa terbaik sekali gus mendapatkan tiket ke pentas Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 2:32 PM