CDM negara ke Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt mengadakan pertemuan bersama barisan pelumba negara. FOTO Saiful Affendy Sapran
CDM negara ke Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt mengadakan pertemuan bersama barisan pelumba negara. FOTO Saiful Affendy Sapran
Oleh Saiful Affendy Sapran


Nilai: Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak mahu impiannya untuk merangkul pingat emas pada penampilan terakhirnya di Sukan Asia Hangzhou, China musnah dengan jadual padat yang bakal diharunginya pada temasya itu nanti.

Skrip sama seperti yang berlaku ketika di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland, bulan lalu itu menyebabkan Azizulhasni lebih berhati-hati dengan melakukan persediaan lebih awal untuk menyesuaikan diri mengharungi jadual padat di Hangzhou.

"Dari segi jadual, saya lihat memang agak padat dengan setiap perlumbaan hanya dibezakan 15 minit sahaja dan dalam satu hari, ada yang perlu berlumba antara tiga hingga empat perlumbaan.

"Saya tak pasti kenapa ia berlaku, tetapi semua pelumba akan berlumba dalam situasi yang sama. Cuma apa yang boleh saya lakukan adalah melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal.

"Macam di Kejohanan Dunia, kami tak jangka perlumbaan sangat rapat dan saya sudah memecut daripada awal dan kemudian tak sempat melakukan proses pemulihan.

"Sekurang-kurangnya sekarang saya belajar daripada apa yang berlaku di Kejohanan Dunia. Ini (Sukan Asia) adalah temasya sukan besar dan sangat penting untuk negara. Jadi saya kena buat persediaan fizikal dan juga mental daripada sekarang," katanya ketika ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt di Velodrom Nilai.

Jelas pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu, ini adalah pengalaman kali pertama yang menyaksikannya bakal mengharungi jadual padat di temasya sukan dan ia sama sekali berbeza berbanding pengalamannya seperti di Sukan Olimpik.

"Jika ikut format Olimpik ia sama sekali berbeza kerana ada cukup masa untuk proses pemulihan. Apapun, seperti saya katakan tadi, semua pelumba akan melalui situasi sama. Kami hanya perlu melakukan persediaan terbaik," katanya.

Jelas Azizulhasni, Sukan Asia bermula 23 September ini berbeza berbanding Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai, Jun lalu yang menyaksikannya meraih dua pingat emas.

"Semua tahu ini penampilan terakhir saya di Sukan Asia dan saya mahu pastikan dapat cipta sejarah untuk negara serta pamer prestasi terbaik di sana," katanya.

Pada Kejohanan Dunia lalu yang juga penampilan terakhirnya, Azizulhasni gagal meraih sebarang pingat dalam acara pecut dan keirin.

Azizulhasni meraih satu pingat emas menerusi acara pecut pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 1:47 PM