Aksi Azizulhasni dalam acara keirin di Olimpik Tokyo
Aksi Azizulhasni dalam acara keirin di Olimpik Tokyo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dengan kemampuan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk meraih kejayaan apabila membawa cabaran Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou, tahun ini.

Menurutnya, kesungguhan dan kebolehan yang ditunjukkan pelumba berusia 34 tahun itu selama ini cukup untuk membuktikan dia mampu sekali lagi menjadi sandaran kontinjen negara.

"Saya yakin dengan kemampuan Azizulhasni dan atlet lain yang sedang buat persiapan bagi menghadapi tiga temasya besar (Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia) tahun ini," kata Ahmad Faizal.

Ujar beliau, apa yang paling penting adalah usaha dan kegigihan kerana dapat memberi mesej kepada peminat iaitu sukan bukan hanya mengenai kemenangan tetapi kemampuan atau menaikkan kebolehan diri sendiri ke tahap paling maksimum.

"Apa juga keputusan yang mereka peroleh tentunya akan menyemarakkan semangat kita sebagai rakyat Malaysia dan berbangga dengan semua atlet kita," katanya selepas menyaksikan Azizulhasni dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2019/2020.

Aksi di Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou akan menjadi penampilan terakhir buat Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' selepas dia merancang untuk bersara sebaik tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Penampilan di Birmingham juga menjadi peluang terakhir buat pelumba itu untuk meraih pingat emas pertamanya di temasya berkenaan selepas sebelum ini terpaksa berpuas hati dengan gangsa bagi acara pecut berpasukan dan keirin masing-masing pada edisi 2010 di New Delhi dan 2014 di Glasgow.

Azizulhasni bagaimanapun berjaya meraih emas di Sukan Asia Guangzhou 2010 dalam acara keirin sebelum turut melakar pencapaian sama bagi acara pecut pada edisi 2018 di Jakarta.

Bagi Sukan Olimpik Paris, ia bakal menyaksikan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu membuat penampilan kelima di temasya berprestij berkenaan dengan pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah memenangi pingat gangsa dan perak dalam acara keirin masing-masing pada Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan berlangsung bermula 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia Hangzhou 2022 akan membuka tirai saingannya pada 10 hingga 25 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 12:47 PM