SERVIS Syahir perlu diperbaiki. FOTO Sanamtakraw
SERVIS Syahir perlu diperbaiki. FOTO Sanamtakraw
BARISAN pemain negara yang beraksi di Piala Raja Thai ke-36. FOTO Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)
BARISAN pemain negara yang beraksi di Piala Raja Thai ke-36. FOTO Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Posisi tekong antara perkara yang perlu diperkemaskan dengan lebih baik menjelang saingan acara berpasukan pada Piala Raja Thai ke-36 yang dijadual berlangsung esok.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, salah satu punca pasukan Malaysia tumpas di tangan musuh tradisi, Thailand pada aksi final antara regu, disebabkan kegagalan untuk mengutip mata secara konsisten melalui servis.

"Apa yang kita pamerkan pada perlawanan akhir tadi (semalam) sebenarnya belum lagi mencapai tahap sebenar permainan kita khususnya untuk posisi tekong iaitu Syahir (Rosdi). Kalau saya lihat, kedua-dua apit kita mereka menunjukkan satu prestasi yang baik.

"Cuma, kalau kita lihat dari segi serangan Thailand, mereka konsisten mendapat mata melalui servis. Walaupun kita ada juga dapat mata melalui servis namun dari segi variasi servis kita masih lagi perlu diperbaiki untuk kita membuat serangan yang berkesan," katanya.

Dalam aksi final antara regu yang berlangsung pada Selasa, skuad negara terpaksa akur tunduk di tangan skuad Gajah Perang apabila tewas 20-22, 17-21.

Bagaimanapun, skuad negara berpeluang untuk menebus kekecewaan itu apabila acara berpasukan membuka tirai saingannya esok yang menyaksikan Malaysia akan bertemu Korea Selatan pada aksi pertama.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan kecederaan yang dialami Syahir, Ahmad Jais berkata, ketika ini pihaknya masih memantau kecederaan yang dialami pemain itu pada perlawanan final semalam.

Malah katanya, dia dan barisan kejurulatihan akan membina skuad yang ampuh bagi acara berpasukan nanti.

"Kita sedang pantau kecederaan tapak kaki dan pergelangan dia. Kita akan susun gandingan terbaik untuk acara berpasukan,"jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 6:40 PM