Khairy menepis semua dakwaan Sim kononnya berlaku penyelewengan dalam pemberian tender semasa beliau menjadi menteri.
Khairy menepis semua dakwaan Sim kononnya berlaku penyelewengan dalam pemberian tender semasa beliau menjadi menteri.
Fahmy Azril Rosli


PEROLEHAN tender membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada pentadbiran terdahulu dilakukan mengikut prosedur ditetapkan Kementerian Kewangan.

Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, tender yang dilakukan pada waktu itu tidak terpesong atau diseleweng, sebaliknya diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Dari segi tender terhad, tiada apa yang kita buat tidak ikut peraturan ditetapkan Kementerian Kewangan dan segala dokumen berkenaan perolehan KBS juga lengkap.

“Sebagai contoh perolehan mengikut Sukan SEA, ada beberapa perolehan yang terpaksa tidak ikut tender terbuka tetapi dibuat menerusi proses Pelawaan Mengemukakan Cadangan (RFP).

“Kita jemput beberapa syarikat memberi taklimat, sebagai contoh majlis perasmian Sukan SEA.

“Kalau kita buat tender terbuka dengan dokumen sahaja, kita tidak dapat menilai kreativiti, aspek kesenian persembahan dan sebagainya.

“Itu sebabnya kita pelawa banyak syarikat buat kertas kerja melalui penilaian dari segi kewangan, kreativiti, pengalaman serta sebagainya,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim yang mendakwa banyak projek kerajaan terdahulu dibuat secara rundingan terus, termasuk membabitkan penganjuran Sukan SEA.

Mempertahankan proses itu, Khairy berkata, hanya kerana ia tidak melalui tender terbuka bukan bermaksud tiada proses penilaian ketat dikuatkuasakan kerana tetap mengikut peraturan Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada yang merumuskan ia mempunyai kaitan dengan rasuah.

Jika rasuah, katanya, ia bermaksud wujud unsur rasuah dalam pemberian kontrak dari segi jenis perolehan, sama ada melalui tender terbuka, tender terhad, rundingan terus, RFP dan sebagainya.

“Ia cuma cara perolehan dibuat dan tidak membuktikan berlaku rasuah atau tidak.

“Saya sedia menjelaskan kepada menteri dan timbalan menteri mengenai keputusan yang dibuat ketika saya jadi menteri.

“Setiap keputusan ketika saya jadi Menteri Belia dan Sukan mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan Kementerian Kewangan, selain apa yang diaudit kita sudah jawab kepada Jabatan Audit Negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 10:53 PM