AZIZULHASNI (kiri) menaiki podium kedua ketika saingan Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia, bulan lalu. FOTO EPA
AZIZULHASNI (kiri) menaiki podium kedua ketika saingan Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia, bulan lalu. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley tidak panik dengan kecederaan yang menimpa Datuk Azizulhasni Awang.

Menurut pengendali kelahiran Australia itu, Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, tidak mengalami kecederaan serius menerusi keputusan pengimejan resonan magnetik (MRI) yang dilakukan di London, Isnin lalu.

Azizulhasni sebelum ini terpaksa menarik diri pada aksi Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir, minggu lalu atas nasihat doktor selepas mengalami kecederaan 'adductor strain' atau groin.

Ujar Beasley, anak buahnya yang berusia 35 tahun itu akan kembali menjalani latihan bermula minggu depan mengikut program yang sudah ditetapkan.

Katanya, Azizulhasni akan menyertai satu perlumbaan kelas satu di Belgium bulan depan tetapi tidak akan beraksi pada siri ketiga Piala Negara-Negara yang dijadual berlangsung di Milton, Kanada dari 20 hingga 23 April.

"Perancangannya adalah untuk tidak beraksi di Milton dan kami akan kekal dengan keputusan itu. Kami ada satu perlumbaan kelas satu di Belgium pada pertengahan April dan selepas itu kami bawa Azizulhasni pulang.

"(Muhammad) Shah Firdaus (Sahrom) dan Fadhil Zonis akan menyertai perlumbaan di Milton seperti yang dirancang. Kami mempunyai tahun yang penting, jadi adalah penting untuk kekal mengikut perancangan yang sudah ditetapkan dan memastikan Azizulhasni mempunyai masa untuk kembali pulih secara berperingkat.

"Kami memulakan pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan baik, jadi tidak perlu panik," kata Beasley.

Azizulhasni yang menjalani pembedahan jantung pada April tahun lalu membuktikan dia masih berbisa apabila berjaya memenangi perak acara keirin pada siri pertama Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia, bulan lalu sebelum terpaksa menarik diri pada aksi di Kaherah.

Bagaimanapun, ketiadaan Azizulhasni berjaya ditampung Shah Firdaus yang meraih perak di Kaherah dalam acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 1:18 PM