ANGELIQUE (kanan) dan Maria bersalam selepas tamat perlawanan. -Foto AFP
ANGELIQUE (kanan) dan Maria bersalam selepas tamat perlawanan. -Foto AFP
Reuters

MELBOURNE: Harapan Maria Sharapova merangkul kejuaraan Terbuka Australia musnah di tangan Angelique Kerber apabila tumpas 1-6, 3-6 dalam pertembungan antara dua bekas juara, sebentar tadi.

Aksi di Rod Laver Arena membabitkan dua pemenang Grand Slam itu seharusnya layak digelar aksi final, namun ia hanya saingan pusingan ketiga yang menyaksikan Kerber lebih menyerlah.

Sharapova yang kembali ke Melbourne selepas digantung 15 bulan atas kesalahan penggunaan bahan larangan dilihat lebih mengancam dalam dua pusingan awal sebelum ini.

Namun, Kerber yang menamatkan tahun 2015 selaku pemain nombor satu dunia berjaya mematahkan servis Sharapova dan terus cemerlang mengutip mata demi mata untuk memenangi set pertama.

Meskipun Sharapova cuba memberi tentangan selepas ketinggalan pada set kedua, namun belum cukup untuk menafikan kemenangan pemain Jerman itu.

Pukulan ‘drop’ Sharapova yang tidak menjadi ketika kedudukan 3-4 dan kesilapan yang dilakukannya membolehkan Kerber kembali tenang mengatur gerakan dan cemerlang menamatkan set kedua sekali gus memenangi perlawanan itu.

“Saya hanya mahu menikmati setiap mata,” kata Kerber selepas mengecewakan harapan Sharapova yang beraksi buat kali kedua dalam kejohanan Grand Slam selepas digantung 15 bulan.

“Banyak memori yang saya ingati di gelanggang ini. Saya tahu aksi itu tidak akan mudah.”

Kerber memenangi gelaran Grand Slam pertamanya di gelanggang sama dua tahun lalu selepas menewaskan Serena Williams pada perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 7:26 PM