PRESIDEN PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bakal memilih ketua jurulatih skuad kebangsaan baharu selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan PSM, malam ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selain perbincangan mengenai perkara itu, jawatankuasa dipengerusikan Datuk Abdul Halim Suleiman itu turut akan memutuskan mengenai senarai nama barisan kejurulatihan dan pemain yang akan membawa cabaran negara ke Sukan Sea Kemboja 2023, Mei ini.

"Malam ini, Datuk Halim selaku Pengerusi Pemilihan akan bermesyuarat dan berbincang dengan beberapa ahli jawatankuasa memilih pemain dan jurulatih. Secara dasarnya, mesyuarat JKK (MSN) tadi memutuskan mengenai jumlah jurulatih dan pemain. Itu yang kita akan buat dulu," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN, hari ini.

Ujar Sumali, antara nama berada dalam senarai ialah Ahmad Jais Baharun selain beberapa cadangan lain.

"Perkara itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan malam ini.

"Perbincangan ini bagus, menjurus kepada senario baharu sepak takraw negara. Mungkin ada perubahan daripada struktur kejurulatihan. Ada sesuatu perkara yang memberi gambaran positif kepada sepak takraw," katanya.

Ahmad Jais adalah tekong yang membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 dan pernah mengemudi pasukan Johor menjuarai Kejohanan Piala Emas Khir Johari buat julung kalinya, Disember tahun lalu.

Sukan Sea Kemboja 2023 dijadual mempertandingkan 22 pingat emas untuk sukan sepak takraw termasuk acara chinlone.

"Kita akan cuba menyertai chinlone. Dalam perbincangan tadi belum putuskan kerana ia Kategori B.

"Perbincangan tadi hanya memutuskan mengenai penyertaan dan jumlah pemain, itu sudah (diputuskan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 6:28 PM