NADAL kembali beraksi di Terbuka Australia. -FOTO AFP
NADAL kembali beraksi di Terbuka Australia. -FOTO AFP
AFP

Melbourne: Nick Kyrgios dan bekas juara Terbuka AS, Emma Raducanu tidak berada dalam senarai pemain utama yang akan menyertai Terbuka Australia 2024, tetapi Rafael Nadal dan Naomi Osaka bersedia untuk membuat kemunculan semula di pentas Grand Slam.

Pemain Australia Kyrgios yang pernah berada di ranking ke-13 dunia, menjalani pembedahan lutut pada Januari lalu membatalkan rancangan untuk beraksi Wimbledon selepas mengalami kecederaan koyak ligamen pergelangan tangan.

Bos Terbuka Australia, Craig Tiley baru-baru ini berkata dia menjangkakan Kyrgios akan beraksi di Grand Slam pembukaan tahun ini dalam "beberapa bentuk" dan boleh diberikan tiket wildcard.

Manakala pemain Britain, Emma turut tidak berada dalam senarai kemasukan secara automatik.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang mengejutkan dunia tenis apabila memenangi Terbuka AS pada usia 18 tahun, tidak beraksi sejak April selepas menjalani pembedahan pada kedua-dua pergelangan tangan dan buku lali.

Dia menarik diri daripada membuat kemunculan pada perlawanan pertunjukan di Macau bulan ini namun menyasarkan akan kembali membuat kemunculan semula pada awal 2024.

Emma kini berada di kedudukan ranking 103, bermakna dia akan terlepas peluang beraksi di Melbourne Park secara automatik dan perlu melalui proses kelayakan untuk beraksi atau bergantung kepada pemain lain yang menarik diri.

Dia juga boleh mendapat wildcard.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 12:27 PM