Daniil Medvedev. FOTO EPA
Daniil Medvedev. FOTO EPA
AFP

Melbourne: Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Daniil Medvedev berkata dia mengintai peluang berada di kedudukan ranking nombor satu dunia selepas nasib Novak Djokovic beraksi di kejohanan akan datang masih belum diketahui.

Jaguh Rusia itu mengatasi cabaran sengit dalam pemburuan kejuaraan Grand Slam selepas melepasi pusingan kedua Terbuka Australia ketika menewaskan Nick Kyrgios menerusi empat set semalam.

Ketiadaan Djokovic yang juga juara 2021 tidak akan meragut status pemain nombor satu bintang Serbia itu dalam tempoh terdekat sekalipun Medvedev pemain di ranking kedua memenangi Terbuka Australia.

Tetapi Medvedev berjaya merapatkan jurang kedudukan pada masa akan datang. Dia menewaskan Djokovic pada final di Flushing Meadows untuk memenangi kejuaraan utama pertamanya.

"Jika saya berjaya menampilkan keputusan yang baik, Saya boleh menjadi nombor satu, terutama dengan Novak kehilangan matanya di sini," kata Medvedev yang bakal berdepan pemain Belanda, Botic van de Zandschulp di pusingan ketiga pada Sabtu.

"Dia (Djokovic) tidak berjaya beraksi di sini. Ia adalah berita yang sangat besar tetapi keputusan di sini adalah penting dan jika saya berjaya menjadi nombor satu, sekalipun disebabkan keadaan ini, saya fikir saya tetapi perlu diberikan pujian." katanya tersenyum.

"Saya datang ke Terbuka Australia dalam keadaan persediaan yang baik. Saya mahu menang sebanyak mana perlawanan. Ia agak sukar, Grand Slam memang mencabar kerana terdapat lawan sukar.

"Saya berada di ranking nombor dua agak lama. Saya beraksi semakin baik.

"Sudah tentu saya mahu menjadi nombor satu, menang 25 Slam atau sesuatu seperti ini.

"Tetapi sekali lagi bagi saya perkara paling penting adalah usaha keras, cuba meningkatkan permainan, menjadi pemain lebih baik, berusaha menang setiap kejohanan yang disertai."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 11:58 AM