IZZATUL Musfirah cukup bersedia meskipun kejohanan itu diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri. FOTO Ihsan Berwang Track Field Competition 2024
IZZATUL Musfirah cukup bersedia meskipun kejohanan itu diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri. FOTO Ihsan Berwang Track Field Competition 2024
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pelari remaja yang sedang meningkat naik, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira bertekad ingin mempamerkan larian terbaik di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Bawah 20 Tahun (B-20) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Peru pada Ogos nanti.

Jelasnya, meskipun itu kejohanan pertama dia di peringkat antarabangsa namun ia sama sekali tidak menggentarkan dirinya sebaliknya ingin menjadikan itu platform terbaik bagi dirinya bersaing dengan pelari dari negara lain.

"Ini mungkin pertandingan pertama saya meskipun perlu bersaing dengan pelari lebih berusia dari saya, saya tetap bersemangat ingin memberi cabaran yang terbaik.

"Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tapi kalau rezeki saya untuk melakukan catatan masa terbaik bagi musim ini, saya akan cuba lakukan lebih baik (catatan musim terbaik) dari Kejohanan Olahraga Terbuka Berwang di Sabah yang telah saya lakukan sebelum ini,"katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, ketika di Kejohanan Olahraga Terbuka Berwang di Sabah baru-baru ini, Izzatul melakukan catatan masa musim ini dengan 12.38 saat (s) bagi acara 100 meter (m) dan 25.22s untuk 200m.

Masa terbaik peribadi bagi dia dalam acara 100m adalah 12.18s dan 24.66s bagi 200m.

Pada masa sama, pelari kelahiran Terengganu itu juga berkata dia cukup bersedia meskipun kejohanan itu diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Saya agak yakin dengan persediaan yang sudah dilakukan kerana saya pun tidak berehat begitu lama dan saya juga yakin dengan latihan serta perancangan yang sudah dilakukan oleh jurulatih saya.

"Ketika bulan Ramadan dan selepas raya pun saya tetap lakukan latihan agar saya boleh kekalkan momentum saya," kata Izzatul.

Di Kejohanan Olahraga Remaja Asia B-20 yang akan bermula 24 hingga 27 April ini menyaksikan Izzatul akan menyertai acara 100m dan 200m.

Terdahulu, pelari berusia 16 tahun itu berjaya menempa nama dalam sukan olahraga selepas tampil aksi cemerlang di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) termasuk memecahkan rekod berusia 20 tahun yang dilakukan Fauziah Abd Razak dari Perak dalam acara 200m pada ketika itu dengan catatan masa 25.09s sebelum di padam dengan dengan rekod baharu iaitu 24.66s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:04 PM