Niloofar harap kisahnya jadi inspirasi kepada wanita lain. FOTO ihsan Xinhua
Niloofar harap kisahnya jadi inspirasi kepada wanita lain. FOTO ihsan Xinhua

Afghanistan: Pernah diugut bunuh bukan saja oleh puak Taliban, malah keluarganya, tetapi Kapten Niloofar Rahmani, 23, tetap meneruskan cita-citanya sehingga menjadi juruterbang pesawat wanita pertama tentera udara Afghanistan.

Ketika bertugas, si cantik ini juga pernah melanggar arahan pihak atasan demi kemanusiaan apabila menerbangkan askar yang cedera ke hospital kerana secara tradisinya wanita dilarang membawa mayat atau askar cedera.

Bagaimanapun, Niloofar tidak dihukum selepas memaklumkan tindakannya itu kepada pihak atasan.

Menurut Niloofar, dia tidak mahu melihat dirinya sebagai seorang wanita semata-mata.

“Saya perlu ada keyakinan diri. Amat sukar untuk saya menghabiskan sekolah penerbangan di Afghanistan kerana bukan mudah untuk mereka menerima kehadiran wanita.

“Bagaimanapun, saya perlu mengambil risiko supaya wanita lain dapat mengejar cita-cita mereka," katanya ketika ditemubual stesen televisyen WTKR, baru-baru ini.

Niloofar berkata, dia memasang impian untuk menjadi juruterbang sejak kecil dan sanggup belajar bahasa Inggeris selama setahun.

Katanya, Dia mendaftarkan diri dalam program latihan pegawai angkatan udara Afghan pada 2010 dan tamat latihan pada 2012 dengan pangkat Leftenan

“Penerbangan solo pertama saya adalah menerbangkan sebuah Cessna 182.

“Selepas itu saya menghadiri kelas penerbangan lanjutan kerana mahu menerbangkan pesawat lebih besar dan tidak lama selepas itu berjaya menerbangkan sebuah pesawat kargo askar C-208,” katanya.

Niloofar berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada wanita lain dan walaupun berdepan ancaman Taliban dia nekad terus berkhidmat dalam Angkatan Udara Afghanistan selagi diperlukan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 7:50 PM