PEMAIN tenis wanita China, Zheng Qinwen. FOTO AFP
PEMAIN tenis wanita China, Zheng Qinwen. FOTO AFP
Agensi

Hangzhou, China: Pemain tenis China, Zheng Qinwen yang mencipta sensasi pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila mara hingga ke suku akhir memenangi pingat emas pada aksi final wanita di temasya Sukan Asia.

Reputasi hebat bintang tenis muda berusia 24 tahun itu gagal dihalang rakan senegaranya, Zhu Lin apabila Qinwen menoktahkan kemenangan 6-2, 6-4 dalam aksi yang berlangsung selama satu jam 44 minit itu.

Kemenangan Qinwen sudah dijangka terutama selepas dia menumbangkan pemain nombor tujuh dunia, Ons Jabeur di Terbuka AS untuk mara ke suku akhir sebelum tumbang kepada pemain handalan, Aryna Sabalenka.

Malah pada Mei lalu, dia berjaya berada dalam ranking 19 pemain terbaik dunia sebelum menjuarai gelaran WTA pertamanya dua bulan kemudian.

"Perasaan ketika ini sangat luar biasa. Saya gembira dengan kemenangan ini," kata gadis tinggi lampai itu.

"Ia bukan perlawanan yang mudah di final, malah aksi sukar juga saya terpaksa lalui di separuh akhir. Semua pesaing memberi tentangan sengit dan ia mencabar," katanya.

Mengulas mengenai aksi final itu, dia akui beberapa keputusan pengadil sedikit menjejaskan tumpuannya.

"Tetapi saya menghormati keputusan pengadil. Kadang-kadang ia berlaku di gelanggang tenis. Walaupun beberapa kali pukulan servis saya dibatalkan, namun saya tetap fokus dan berjaya tamatkan perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 12:44 PM