VELODROM pasang siap di Pusat Sukan Chun'an Jieshou dilaporkan menelan belanja 320 juta yuan (RM205 juta).
VELODROM pasang siap di Pusat Sukan Chun'an Jieshou dilaporkan menelan belanja 320 juta yuan (RM205 juta).
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Kemeriahan temasya Sukan Asia di Hangzhou mencapai kegemilangannya tersendiri dengan teknologi moden yang cuba diserlahkan penganjur, namun penduduk tempatan mula mempersoalkan kos penganjuran sukan itu.

Penganjur tidak mendedahkan perbelanjaan untuk temasya itu, walaupun kerajaan Hangzhou berkata, pihaknya membelanjakan lebih 200 bilion yuan (RM128.95 bilion) dalam tempoh lima tahun hingga 2020 untuk infrastruktur pengangkutan, stadium, penginapan dan kemudahan lain.

Antara yang menjadi tumpuan pada temasya itu kali ini adalah acara berbasikal apabila velodrom di Pusat Sukan Chun'an Jieshou dilaporkan menelan belanja 320 juta yuan (RM205 juta).

Ia adalah sebuah velodrom pasang siap terletak di Perbandaran Jieshou, Daerah Chun'an.

Namun velodrom yang bernilai RM205 juta itu akan dirobohkan apabila tamatnya temasya Sukan Asia dan Para Asia selepas ini.

Mengambil 'seekor ikan melantun menghadap matahari pagi, mutiara bersinar di antara ribuan pulau' sebagai konsep reka bentuk, velodrom ini berbentuk hemisfera, seperti mutiara yang timbul di atas air.

Acara berbasikal trek Sukan Asia Hangzhou akan diadakan dari 26 September hingga 29 September apabila atlet akan bersaing untuk merebut 12 pingat emas.

Di velodrom, pelumba trek berlumba melawan arah jam mengelilingi trek tertutup sepanjang 250 meter.

Terdapat beberapa acara dan jarak berbeza yang menguji kelajuan, ketahanan dan kerja berpasukan.

Selepas ditunda setahun kerana Covid-19, bandar timur Hangzhou, akan menjadi acara sukan terbesar China dalam tempoh lebih sedekad, dengan lebih 12,000 atlet dari 45 negara bertanding membabitkan 40 sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 8:39 PM