PEMAIN Croatia, Borna Coric bersorak selepas muncul juara Masters Cincinnati. FOTO Reuters
PEMAIN Croatia, Borna Coric bersorak selepas muncul juara Masters Cincinnati. FOTO Reuters
AFP

Cincinnati: Borna Coric yang kembali bermain tenis pada Mac lalu selepas tersisih selama setahun akibat kecederaan bahu, menewaskan pemain pilihan keempat, Stefanos Tsitsipas untuk memenangi Masters Cincinnati, hari ini.

Pemain Croatia yang menduduki ranking ke-152 dunia itu menewaskan bintang Greece, 7-6 (7/0), 6-2 untuk mencipta rekod pemain pada ranking paling rendah menjulang trofi Masters.

"Ia sukar dipercayai," kata Coric. "Saya fikir akan tersingkir di pusingan pertama."

Coric tewas final terakhirnya di peringkat ini di tangan Novak Djokovic di Shanghai, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, hari ini, Coric mengatasi pemain Sepanyol di ranking ke-143 dunia, Roberto Carretero yang muncul juara Hamburg pada 1996, sebagai pemain ranking paling rendah muncul juara.

"Ini menjadi kejohanan yang sangat baik untuk saya," kata Coric.

"Saya sentiasa gembira datang semula ke sini. Dua tahun lalu, saya hanya menyaksikan perlawanan di televisyen dan tidak gembira dengan keadaan itu."

Coric bangkit daripada ketinggalan 1-4 untuk mengatasi Tsitsipas dan memenangi set pertama menerusi tie break.

Momentum berubah pada set kedua apabila pemain Croatia mendapat sokongan sekumpulan penyokong yang memakai jersi kebangsaan negara itu.

"Saya tidak sedar apa yang berlaku dan ini adalah perlawanan yang sangat mencabar," kata Coric.

"Pada permulaan, saya tidak bermain dengan baik dan dia benar-benar memaksa saya. Saya kemudian melakukan servis yang lebih baik dan mula melawan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 10:04 AM