BONNIE Bunyau Gustin. FOTO NSTP
BONNIE Bunyau Gustin. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh angkat berat paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin terus mengaum di pentas antarabangsa apabila sekali lagi memecah rekod dunia acara 72 kilogram (kg) pada penyertaannya di Kejohanan Angkat Berat Para Dunia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Atlet berasal dari Sarawak itu cukup sukar digugat peserta lain sekali gus membolehkannya membawa pulang pingat emas untuk negara.

Bonnie mengangkat bebanan 231kg pada percubaan ketiga, sekali gus memperbaharui rekod dilakarnya sebelum ini iaitu 230kg ketika saingan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Pencapaian luar biasa itu menyaksikan dia menewaskan wakil Itali, Donato Telesca yang melakukan catatan 202kg manakala gangsa pula dimenangi Bekzod Jamilov dari Uzbekistan menerusi angkatan 200kg.

Sementara itu, Bonnie berkata, dia gembira apabila usaha gigih dan komitmen tinggi ketika latihan dibayar menerusi kejayaan memecah rekod dunia dalam kategori 72kg.

"Saya gembira apabila dapat mengekalkan status sebagai juara dunia dan lebih baik lagi apabila mencipta rekod dunia baharu di kejohanan ini," katanya.

Kejayaan itu juga menyaksikan Bonnie yang juga juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020 layak beraksi di temasya sama di Paris tahun depan.

Mengikut rekod, Bonnie sebelum ini pernah mencipta sensasi apabila meraih gelaran juara dunia pada 2019 dan 2021.

Pada tahun lalu, dia turut cemerlang menyumbang emas kepada Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 12:17 PM