FOTO Facebook Ismail Sabri Yaakob
FOTO Facebook Ismail Sabri Yaakob
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia dengan pingat emas bagi acara angkat berat lelaki.

"Terima kasih Bonnie Bunyau Gustin kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat emas bagi acara angkat berat lelaki.

"Anda kebanggaan kami apabila lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar di bumi Jepun," katanya pada kenyataan di Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata, penghargaan yang sama turut ditujukan buat jurulatih dan kontinjen Malaysia.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Bonnie menghadiahkan pingat emas sulung negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara 'powerlifting' dalam kelas 72 kilogram (kg) hari ini.

Bonnie merangkul emas dengan angkatan terbaiknya 228kg, sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin dengan 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro, Brazil.

Bonnie yang turun selaku pemegang rekod dunia di Tokyo International Forum, mendahului saingan sejak daripada angkatan pertama dengan dia bermula dengan angkatan 217, 225 dan 228kg sebelum percubaan keempat untuk memecahkan rekod dunia miliknya pada angkatan 231kg gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 3:39 PM