IRFAN memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak 13 kali sejak Jun 2013.
IRFAN memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak 13 kali sejak Jun 2013.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pada usia 22 tahun, atlet muda Muhammad Irfan Shamsuddin berada dalam kelas tersendiri apabila dia memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak 13 kali dalam acara lempar cakera sejak Jun 2013.

Kali pertama dia memadam rekod kebangsaan 49.33 meter milik Ngu Kit Ming dari Sarawak dengan catatan 49.81m pada Kejohanan Olahraga Tertutup Remaja dan Senior Kebangsaan 2013 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada tahun sama pemuda berasal dari Negeri Sembilan itu memperbaharui rekodnya sendiri dua kali dengan jarak sejauh 49.90m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Brunei dan 53.16m pada Sukan SEA Myanmar.

Secara keseluruhan, Irfan memperbaharui rekod kebangsaan hampir setiap tahun dan paling membanggakan adalah hatrik yang dilakukannya baru-baru ini iaitu 59.29m, 61.56m dan 62.55m dalam tempoh seminggu saja di beberapa kejohanan olahraga di sekitar Eropah.

“Saya akan cuba lagi, saya yakin boleh melakukan catatan lebih baik, apa yang buat saya konsisten adalah dalam setiap kejohanan, saya hanya fokus supaya tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan teknik lemparan ketika beraksi.

“Ini rekod ke-13 daripada saya. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran dan hanya mahu mengekalkan prestasi yang konsisten. Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri,” katanya.

Atlet bertubuh sasa itu sebelum ini aktif dalam sukan ragbi dan mula berjinak-jinak dalam acara lempar cakera pada 2011.

Tidak mahu cepat mendabik dada, Irfan berkata, masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya terutama teknik lemparan supaya cita-citanya beraksi pada Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik tercapai.

Pencapaian konsisten itu meletakkan Irfan seorang daripada atlet prospek pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19-30 Ogos ini.

Dia perlu melepasi jarak 65m untuk melayakkan diri beraksi pada Kejohanan Dunia London sebelum 23 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 8:16 AM