CROUSER padamkan rekod dunia miliknya sendiri. -FOTO USA Today
CROUSER padamkan rekod dunia miliknya sendiri. -FOTO USA Today
AFP

Los Angeles: Juara Olimpik dan lontar peluru dunia Ryan Crouser mempamerkan persembahan mengagumkan apabila memadam rekod dunia miliknya sendiri di Grand Prix Los Angeles semalam.

Bintang Amerika berusia 30 tahun itu melakukan lontaran sejauh 23.56 meter (m) di Stadium Drake untuk memadamkan rekod dunia iaitu 23.37m yang dilakukan ketika kejohanan ujian Olimpik AS di Eugene pada 2021.

Crouser pemenang pingat emas Olimpik 2016 dan 2020 dan juga penyandang juara dunia memberi isyarat bahawa dia berada dalam keadaan terbaik selepas dua lontaran awal melepasi jarak 23m.

Dia akhirnya mencatatkan rekod baru dunia pada lontaran keempat dengan catatan sejauh 23.56m.

Crouser selepas itu berkata, bahawa rekodnya adalah hasil daripada teknik lontaran baharu yang dicubanya tahun ini membabitkan "langkah melintasi" dan menegaskan bahawa dia mampu untuk melontar lebih jauh.

"Saya sangat teruja," kata atlet yang memiliki ketinggian 2m dan seberat 145.15kg.

"Saya berasa seperti saya mempunyai satu tan kuasa dan dapat menangkap sesuatu yang besar tetapi masih banyak lagi yang benar-benar mengujakan kerana saya tidak melakukan latihan dengan bersungguh-sungguh.

"Saya berada pada intensiti 75 peratus kerana memberi penekanan kepada beberapa perkara teknikal.

"Sebahagian daripadanya gagal dan sebahagian daripadanya masih memerlukan penambahbaikan jadi saya sangat-sangat teruja dan kejayaan hari ini sebagai batu loncatan ke hadapan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 11:49 AM