HOE Yean raih penamat keempat pada aksi final. FOTO REUTERS
HOE Yean raih penamat keempat pada aksi final. FOTO REUTERS
Fabian Peter


Hangzhou: Selepas 21 tahun, kemarau pingat Malaysia dalam sukan renang di Sukan Asia nampaknya berterusan.

Ia selepas prospek terbaik Malaysia, Khiew Hoe Yean, terlepas pingat gangsa apabila menduduki tempat keempat dalam acara 400m gaya bebas lelaki, hari ini.

Selepas layak ke final dengan catatan masa kedua terpantas dalam saringan, pemenang pingat emas Sukan Sea Phnom Penh itu menduduki tempat keempat dengan catatan masa 4:49.47 saat (s).

Di hadapannya ialah Nguyen Huy Hoang dari Vietnam, yang mencatat masa 3:49.16s.

Kim Woo Min dari Korea Selatan merangkul emas selepas mencatat 3:44.36s, manakala Pan Zhanle dari China meraih perak dengan catatan 3:48.81s.

Hoe Yean yang tidak beraksi pada final 4x100m gaya bebas lelaki semalam untuk memberi tumpuan kepada acara kegemarannya itu, nyata tidak bertuah selepas dia mempamerkan kebangkitan luar biasa pada 100m terakhir.

Bermula di lorong keenam, Hoe Yean mendapati dirinya ketinggalan di tempat ketujuh, namun penamat keempat di acara sukan terbesar benua Asia itu adalah pencapaian yang luar biasa untuknya.

"Saya melakukan yang terbaik untuk kembali bangkit semula tetapi saya tidak cukup pantas," kata Hoe Yean yang agak kecewa.

"Saya sebenarnya mahukan gangsa itu tetapi sayang sekali, saya tidak dapat memenanginya," tambah Hoe Yean yang berpotensi meraih perak sekiranya dia berjaya melakukan catatan peribadi terbaiknya.

Pada Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary tahun lalu, Hoe Yean mencatat rekod kebangsaan 3:48.72s.

Perenang Malaysia terakhir memenangi pingat di Sukan Asia ialah Lim Keng Liat, yang meraih perak dalam acara 100m kuak lentang lelaki di Sukan Asia Busan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:03 PM